Perutusan Pesuruhjaya Tinggi, Boyd McCleary
Selamat datang ke laman web Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia!
Laman web ini mengandungi maklumat mengenai kerja kami sebagai wakil rasmi Kerajaan Britain di Malaysia dan usaha kami untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan hubungan erat di antara Malaysia dan United Kingdom. Laman web ini juga berfungsi sebagai panduan perkhidmatan yang kami sediakan untuk rakyat Britain yang tinggal, ingin melawat atau ingin berniaga di Malaysia. Selain itu, ia merupakan panduan am untuk persoalan lazim seperti melawat United Kingdom dan Malaysia, belajar di sana dan berniaga dengan syarikat British.
Hubungan silaturahim antara UK dan Malaysia amatlah erat.
Sehingga kini, ratusan rakyat Malaysia telah melanjutkan pelajaran mereka di United Kingdom dan lebih kurang 11,500 pelajar sedang menuntut di sana ketika ini. Dalam pada itu, ratusan rakyat Malaysia sedang menuntut diperingkat ijazah British di Malaysia. Kerjasama pendidikan antara United Kingdom dan Malaysia turut mengalami tahap pembaharuan yang memberangsangkan. Sebagai contoh, pembukaan beberapa kampus universiti British di Malaysia. Kerjasama ini mencerminkan asas hubungan menyeluruh di antara United Kingdom dan Malaysia.
United Kingdom dan Malaysia mempunyai persamaan dari segi demokrasi berparlimen dan juga sistem perundangan. Pertukaran antara negara-negara Komanwel mengukuhkan lagi nilai perkongsian bersama. Kerajaan kedua-dua negara sering berhubung diantara satu sama lain pada setiap peringkat, dalam usaha mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat antarabangsa. Hubungan pertahanan dua-hala pula dieratkan melalui penganggotaan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Disektor perdagangan, syarikat- syarikat British merupakan pelabur utama di Malaysia. Pelaburan syarikat-syarikat British telah bertambah sejak tiga puluh tahun lalu dan telah mencapai nilai melebihi £20bn atau RM140bn. Banyak syarikat Malaysia telah dipelawa ke United Kingdom sebagai pelabur dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan. Dagangan barangan dua-hala bernilai lebih daripada £3bn atau RM20bn setiap tahun, ditambah pula dengan perdagangan tidak ketara bernilai £350 juta atau RM2.5bn. Misi kami adalah untuk memperkembangkan lagi pertalian dagangan ini.
Rakyat Malaysia sentiasa dialu-alukan ke United Kingdom untuk perniagaan mahupun riadah. Rakyat Malaysia yang ingin melawat United Kingdom selama enam bulan atau waktu yang lebih singkat daripada itu, tidak memerlukan visa atau 'UK residence permit'. Sementara itu, jumlah pelancong Britain yang datang ke Malaysia untuk menikmati kepelbagaian negara ini, juga amat memberangsangkan, iaitu lebih daripada 250,000 orang - untuk mereka, laman web ini menyajikan pelbagai maklumat yang bermanfaat termasuk perihal keselamatan.
Saya berharap anda memperolehi manfaat daripada kandungan laman web ini. Sekiranya anda perlukan bantuan lanjut, sila hubungi kami. Dengan kerjasama anda, kami akan berusaha untuk memperkukuhkan lagi silaturahim antara Malaysia dan United Kingdom.
Boyd McCleary